Saturday, January 31, 2009

SPRM Beri Peringatan Elak Langgar Peraturan Babitkan Rasuah

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mengingatkan pegawai dan kakitangan kerajaan di negeri ini supaya tidak menerima barangan berharga termasuk hamper sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengarahnya, Latifah Md Yatim, berkata tindakan menerima hadiah seperti hamper atau ‘ang pau’ boleh dianggap sebagai sebagai menerima rasuah dan menyalahi undang-undang.


"Ia terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam 398 Seksyen 8 yang melarang mereka (kakitangan awam) menerima barangan berharga jika ia ada kaitan urusan rasmi antara mereka.


"Jadi, semua pihak harus berhati-hati jika tidak mahu menerima hukuman," katanya kepada Berita Harian.

Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mereka yang sabit kesalahan kerana menerima atau memberi rasuah boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang cenderung memberi barang berharga dalam bentuk hamper kepada pegawai kerajaan pada musim perayaan.


Selain Seksyen 165 Kanun Keseksaan, pegawai awam yang melakukan kesalahan itu juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 (a) dan 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ditanya bagaimana untuk menentukan sama ada sesebuah pemberian itu boleh dianggap rasuah, Latifah berkata, pihaknya mendefinisikan ia sebagai rasuah jika nilainya mencecah ribuan ringgit.

"Banyak hamper terutama mengandungi minuman beralkohol dijual di pasaran yang boleh dianggap sebagai pemberian rasuah jika diberikan kepada kakitangan kerajaan.

"Cuma, bagi pemberian limau mandarin yang sering diberikan pada Tahun Baru Cina, saya rasa ia tidak didefinisikan sebagai rasuah jika jumlahnya tidak banyak," katanya.

Latifah berkata, BPR negeri juga berharap pegawai kerajaan yang menerima hamper atau barangan berharga pada musim perayaan ini supaya melaporkan kepada pihaknya untuk tindakan susulan.

"Kami akan mencari individu yang memberi barangan itu dan akan mendakwanya mengikuti akta sudah ditetapkan," katanya.

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Pandangan Islam Mengenai Rasuah

gari bribery fighting-corruption

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :
“Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.
Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.
Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

Takrif Suapan

  • wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
  • apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
  • apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
  • apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
  • apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
  • apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan
  • apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu.


Selamat Datang!!

selamat datang diucapkan kepada pelawat-pelawat blog sekretariat pencegahan rasuah universiti sains malaysia (sprusm). Segala informasi berkaitan dengan sprusm akan kami lampirkan di dalam blog ini.

Komen dan penambahbaikan amat diperlukan untuk dilakukan dalam blog ini. Segala pandangan dan komen bolehlah dihantar ke emel kami iaitu di: usm_spr@yahoo.com.
Segala komen dan pandangan akan kami pertimbangkan untuk kebaikan blog dan juga sprusm.

Sekian terima kasih diucapkan.