Saturday, January 31, 2009

SPRM Beri Peringatan Elak Langgar Peraturan Babitkan Rasuah

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mengingatkan pegawai dan kakitangan kerajaan di negeri ini supaya tidak menerima barangan berharga termasuk hamper sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengarahnya, Latifah Md Yatim, berkata tindakan menerima hadiah seperti hamper atau ‘ang pau’ boleh dianggap sebagai sebagai menerima rasuah dan menyalahi undang-undang.


"Ia terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam 398 Seksyen 8 yang melarang mereka (kakitangan awam) menerima barangan berharga jika ia ada kaitan urusan rasmi antara mereka.


"Jadi, semua pihak harus berhati-hati jika tidak mahu menerima hukuman," katanya kepada Berita Harian.

Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mereka yang sabit kesalahan kerana menerima atau memberi rasuah boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang cenderung memberi barang berharga dalam bentuk hamper kepada pegawai kerajaan pada musim perayaan.


Selain Seksyen 165 Kanun Keseksaan, pegawai awam yang melakukan kesalahan itu juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 (a) dan 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ditanya bagaimana untuk menentukan sama ada sesebuah pemberian itu boleh dianggap rasuah, Latifah berkata, pihaknya mendefinisikan ia sebagai rasuah jika nilainya mencecah ribuan ringgit.

"Banyak hamper terutama mengandungi minuman beralkohol dijual di pasaran yang boleh dianggap sebagai pemberian rasuah jika diberikan kepada kakitangan kerajaan.

"Cuma, bagi pemberian limau mandarin yang sering diberikan pada Tahun Baru Cina, saya rasa ia tidak didefinisikan sebagai rasuah jika jumlahnya tidak banyak," katanya.

Latifah berkata, BPR negeri juga berharap pegawai kerajaan yang menerima hamper atau barangan berharga pada musim perayaan ini supaya melaporkan kepada pihaknya untuk tindakan susulan.

"Kami akan mencari individu yang memberi barangan itu dan akan mendakwanya mengikuti akta sudah ditetapkan," katanya.

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment